Hanneeyzah Bariah Baharin


PERBUATAN selamba seorang wanita kerap melepak di rumah rakan lelakinya dalam keadaan mendedahkan aurat membawa padah apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berkhalwat dengan dua lelaki.

Malah, wanita berusia 34 tahun itu turut berdepan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tertuduh yang bekerja sebagai tukang cuci membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat di hadapan Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof.

Dia didakwa berkhalwat bersama dua lelaki masing-masing berusia 70 dan 24 tahun di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Long, di sini, jam 7.25 malam, 19 April tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh tanpa segan silu mengaku seronok melepak di rumah rakan lelakinya itu kerana sukakan kebebasan dalam pergaulan.

“Saya dah biasa lepak rumah itu sebab tak seronok melepak di rumah sendiri. Saya sukakan kebebasan dalam pergaulan,” kata wanita berasal dari Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus itu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Fakhruddin turut mengenakan hukuman denda RM2,400 setiap seorang atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan kepada dua tertuduh lelaki yang mengaku salah atas pertuduhan sama.

Sebelum ini, tindakan wanita itu kerap melepak di rumah tertuduh lelaki dalam keadaan mendedahkan aurat mengundang rasa tidak selesa jiran yang kemudian sebelum membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 4:33 PM