Anggota polis menahan suspek dan merampas barang yang disyaki milik mangsa ragut (gambar kecil). FOTO Zaid Salim.


Seorang lelaki tidak sempat berbelanja wang yang diragut apabila ditahan polis selepas melakukan jenayah itu di Kampung Binjai Rendah, Bukit Payung, Marang.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota pasukan khas Balai Polis (BP) Chabang Tiga, Kuala Terengganu jam 8.30 malam, semalam.

Suspek berjaya ditahan apabila gagal melarikan diri selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Kampung Kubang Parit.

Sumber polis berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu ketika melakukan rondaan cegah jenayah sebelum berusaha mengesan suspek berdasarkan maklumat yang diterima.

Katanya, ketika menjalankan rondaan di kawasan persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasaraya Nirwana, pihaknya terserempak dengan seorang lelaki yang menunggang motosikal Honda EX5 berwarna hitam.

“Kita mengekori motosikal lelaki terbabit dan cuba menahannya sebaik tiba di Kampung Kubang Parit.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit cuba melarikan diri sebelum dia ditahan selepas motosikalnya terbabas ke dalam longkang di kampung berkenaan,” katanya.

Ketika pemeriksaan dijalankan, pihaknya menemui satu beg duit warna coklat yang diletakkan dalam raga motosikal berkenaan.

Pemeriksaan dalam beg berkenaan menemui wang tunai sebanyak RM750, lesen memandu, kad ATM Bank Simpanan Nasional dan kad pengenalan atas nama Nur Farihah Roni berusia 19 tahun.

Siasatan juga mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pemeriksaan pada nombor enjin mendapati motosikal berkenaan pernah dilaporkan hilang.

Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:31 PM