ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Fazrik Kamarudin


POLIS menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan samun dan merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM200,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, tangkapan dibuat susulan satu kes samun bersenjata yang berlaku di Kelana Jaya pada 23 November lalu.

“Bertindak atas maklumat, kita menahan suspek pertama, seorang lelaki berusia 30 tahun di Jalan Rejang 7, Setapak Jaya, Kuala Lumpur dan semakan terhadap suspek mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

“Dua lagi suspek berusia 33 dan 55 tahun ditahan di sebuah kondominium Jalan Ayer Panas, Kuala Lumpur, semakan terhadap kedua-dua suspek juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah.

“Suspek berusia 33 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan dikehendaki berhubung tiga kes termasuk dadah, sementara suspek berusia 55 tahun mempunyai sembilan rekod jenayah lampau,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, hasil penahanan tiga suspek itu, polis merampas pelbagai jenis barangan disyaki hasil kegiatan samun.

“Antara barangan dirampas ialah 11 jam tangan berjenama mewah, lapan beg berjenama mewah, dua utas rantai emas dan pelbagai jenis barangan elektronik.

“Polis turut menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan samun oleh suspek.

“Kami masih mengesan dua lagi rakan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun kumpulan bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:28 PM