Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor akan mengadakan perbincangan susulan kematian wakil rakyatnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, hari ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perbincangan lanjut berkaitan hal itu akan dibincangkan selepas selesai pengebumian Allahyarham.

“Saya akan berbincang dengan Tun Pengerusi (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Tan Sri Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk tindakan lanjut,” katanya di Shah Alam hari ini.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung jam 4.45 pagi.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Bakhtiar menjadi wakil rakyat Semenyih selepas menewaskan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Bakhtiar yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Berita berkaitan

ADUN Semenyih meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 11:43 AM