MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari membaca doa bagi penghormatan terakhir di Kampung Pasir Sungai Lalang, Semenyih. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia akibat serangan jantung, 4.45 pagi tadi. FOTO Azhar Ramli


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan takziah di atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menzahirkan dukacita dan menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kehilangan pemimpin itu.

"Saya berasa dukacita atas pemergian Allahyarham Baktiar, ADUN Semenyih dan mengambil kesempatan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

"Saya doa moga Allahyarham ditempatkan di kalangan para solehin. Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan dugaan ini," katanya dalam satu kenyataan, di Twitter rasminya, hari ini.

Bakhtiar, meninggal dunia di Hospital Kajang, 4.45 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Bakhtiar, menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Berita berkaitan

BERSATU Selangor akan bincang lanjut

ADUN Semenyih meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 12:56 PM