FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


GRAB Malaysia (Grab) mengingatkan orang ramai khususnya mereka yang menggunakan perkhidmatan aplikasi itu supaya sentiasa memeriksa maklumat pemandu dan kenderaan yang ditempah sebelum menaiki kenderaan berkenaan.

Grab dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu adalah langkah asas bagi mengurangkan sebarang kejadian yang tidak diingini ketika penumpang menggunakan perkhidmatan itu.

“Kami ingin menegaskan dan mengingatkan semua penumpang kami, sama ada lelaki dan wanita, muda atau tua, supaya sentiasa memeriksa maklumat pemandu dan kenderaan ditempah sebelum menaiki kenderaan berkenaan. Ini adalah langkah asas untuk mengurangkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Grab berkata demikian sebagai mengulas insiden yang berlaku ke atas wanita berusia 23 tahun yang nyaris dirogol lelaki warga Pakistan gara-gara tersilap menaiki kenderaan lelaki itu yang disangkanya kereta Grab yang ditempahnya.

Grab bagaimanapun berharap laporan media yang disiarkan semalam tidak memberi salah faham kepada pembaca dan ingin menjelaskan bahawa suspek lelaki warga Pakistan itu dan kenderaannya tidak berdaftar dengan perkhidmatan Grab.

“Untuk pengetahuan, Grab hanya menerima pemandu Malaysia dengan lesen memandu negara yang sah. Kami berasa lega apabila mendengar bahawa polis sudah menahan suspek kurang daripada 24 jam selepas kejadian itu,” katanya yang akan membuat tindakan susulan menghubungi mangsa berkenaan.

Katanya, insiden yang berlaku itu membawa perhatian yang lebih besar kepada tahap kepentingan keselamatan yang mana akan sentiasa menjadi keutamaan di Grab.

“Kami komited untuk terus mementingkan keselamatan bagi kebaikan kedua-dua pemandu dan juga penumpang kami,” katanya.

Sebagai tambahan, Grab mengingatkan semua penumpang mereka untuk memastikan keselamatan dengan beberapa langkah keselamatan lain.

Ia termasuk membuat perkongsian maklumat mengenai perjalanan dengan rakan dan keluarga menerusi ‘Share-my-Ride’.

Selain itu, penumpang diingatkan untuk terus menghubungi pihak berkuasa di talian MERS 999 sekiranya merasakan keselamatan terancam.

“Berikan talian kecemasan rakan atau keluarga yang boleh dihubungi, supaya mereka akan dimaklumkan terus sekiranya anda menghubungi MERS 999,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan seorang wanita nyaris dirogol lelaki warga Pakistan di kawasan semak di Jalan Susur 2, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa berusia 23 tahun tidak memeriksa nombor pendaftaran dan jenis kereta yang ditempah terlebih dahulu sebelum terus menaiki kenderaan suspek selepas dimaklumkan oleh pemandu bahawa keretanya sudah sampai.

Mangsa yang sepatutnya menaiki kereta Perodua Bezza, sebaliknya menaiki kereta suspek iaitu Proton Gen2.

Kurang 24 jam selepas insiden, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terbabit dalam kes cubaan merogol itu.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di tepi Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru, kira-kira 11 malam Selasa lalu.

Berita berkaitan

Nyaris dirogol akibat salah naik kereta sewa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 1:32 PM
Digital NSTP Subscribe