Sudu dan garfu yang mahu dibuang. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


PENGURUSAN Rangkaian Restoran Khulafa Sdn Bhd menafikan dakwaan pekerjanya mencuci sudu dan garfu di jalan belakang premis itu di Shah Alam yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengerusinya, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin berkata, salah faham itu timbul berikutan pekerja sambilan berkenaan mahu membuang peralatan terbabit yang disimpan dalam stor di sebuah restoran cawangannya di Seksyen 7, Shah Alam jam 1 tengah hari.

“Pada waktu itu, beberapa pekerja membersihkan bahagian belakang premis dan membuang barangan yang sudah tidak boleh digunakan.

“Ketika seorang pekerja mahu mengangkat dan membuang sudu serta garfu itu di dalam plastik hitam, ia terjatuh ke jalan.

“Pekerja itu kemudian mengangkat dan mengumpulnya sebelum dibuang.

“Namun mungkin secara kebetulan ada orang merakam gambar sehingga timbul salah faham mengenainya,” katanya hari ini.

Abdul Wahith berkata, cara basuhan sudu dan garfu di restoran itu mengikut prosedur ditetapkan.

“Kita merendamnya dengan air berisi sabun sebelum dicuci dengan span dan dibilas. Ia kemudian direndam dalam air panas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaafkan individu yang menularkan perkara itu.

“Saya minta orang ramai menyiasat terlebih dulu sebelum menularkan dakwaan itu.

“Restoran kami mengikut piawaian syariah, tukang masak serta pekerja terdiri daripada mereka yang beragama Islam.

“Jika ada pekerja bukan beragama Islam, mereka hanya bekerja untuk mengambil serta menghantar pesanan makanan pelanggan,” katanya.

Susulan kejadian itu, Abdul Wahith berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut membuat pemeriksaan di premis itu jam 11 pagi hari ini.

“Pemeriksaan mendapati premis bersih dan mengikut piawaian pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, satu status serta beberapa keping gambar tular apabila seorang pekerja restoran itu dilihat seakan-akan mencuci sudu dan garfu di atas lantai jalan di belakang premis.

Status yang dimuat seorang wanita itu kemudiannya dikongsi lebih 1,000 pengguna Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 4:00 PM