Mohd Khidir Zakaria
cnews@nstp.com.my


POLIS akan menghentikan siasatan berhubung anjing terbiar ditemui mati yang dipercayai diracun di Taman Levender Height, Senawang, Seremban yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, ia susulan arahan Pejabat Timbalan Pendakwaraya (DPP) dan menyerahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk meneruskan siasatan.

“Kita hentikan siasatan kes anjing yang mati dipercayai diracun dan menyerahkan kepada pihak Veterinar mengikut akta siasatan mereka,” katanya kepada pemberita di Majlis Sepetang Bersama Pengerusi PERKEP Negeri Sembilan anjuran PERKEP Port Dickson di Lexis Hibiscus di Port Dickson, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan penduduk di Taman Lavender Height digemparkan dengan penemuan tiga bangkai anjing liar dan seekor anjing peliharaan yang mati di dalam longkang dipercayai akibat diracun oleh individu tidak bertanggungjawab, Isnin lalu.

Isu itu mendapat perhatian pelbagai pihak dan memaksa penduduk taman berkenaan mengadakan dialog dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memberi maklumat perkara sebenar.

Malah pihak berkuasa dan kerajaan negeri juga menasihatkan orang ramai terutama pengguna media sosial supaya berhenti memperbesarkan isu itu bagi menjaga keharmonian masyarakat.

Berita berkaitan

Maruah saya tercemar - Pengerusi masjid

Henti kecam jika tidak tahu apa...

Pengurusan masjid difitnah racun anjing

Anjing mati diracun

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:11 PM