Sultan Abdullah meninjau persiapan bagi Majlis Istiadat Pemasyhuran sebagai Sultan Pahang Selasa ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Muhd Asyraf Sawal
cnews@nstp.com.my


SULTAN Abdullah Sultan Ahmad Shah kembali ke Istana Abu Bakar di Pekan buat pertama kalinya sebagai Sultan Pahang.

Baginda yang diiringi isteri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba jam 6.30 petang iaitu selepas sidang media khas oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan keputusan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bermesyuarat di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Majlis itu bersetuju sebulat suara atas pemilihan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam berikutan keadaan Sultan Ahmad Shah yang gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sebelum ini, Sultan Abdullah hadir ke Istana Abu Bakar atas kapasiti sebagai Pemangku Raja Pahang dan Tengku Mahkota Pahang antaranya untuk mengurniakan pingat kebesaran.

Detik bersejarah Sultan Abdullah kembali ke Istana Abu Bakar sebagai Sultan Pahang dirakamkan jurugambar NSTP, Muhd Asyraf Sawal yang menjadi satu-satunya jurugambar berada di istana ketika itu.

Dalam sesi itu, Sultan Abdullah berkenan bertemu dengan pegawai istana dan meninjau keadaan Istana Abu Bakar.

Baginda meminta kakitangan Istana Abu Bakar menjaga keadaannya terutama dalam aspek kebersihan dan memelihara peralatan di dalamnya.

Baginda juga meninjau persiapan pemasyhuran sebagai Sultan Pahang keenam di Balai Rong Istana Abu Bakar yang dijadualkan jam 11 pagi, Selasa ini.

Sultan Abdullah menggantikan ayahandanya Sultan Ahmad Shah yang memerintah Pahang selama 45 tahun.

Berita berkaitan

  • 'Tengku Abdullah sebagai calon Agong'
  • Putera Mahkota kedua paling lama
  • Doakan terbaik untuk ayahanda
  • ''Rakyat Pahang gembira, terharu'
  • ''Tengku Abdullah Sultan Pahang Keenam [METROTV]'
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 2:12 PM