(Gambar kiri) Dr Annuar (kanan) menziarahi Azman di Hospital Sibu. (Gabar kanan) Aariz Harraz Zahin. FOTO Harun Yahya


“DIA menggerakkan kepala ke kiri dan kanan seolah-olah mahu memberitahu sesuatu ketika diserahkan kepada pengasuhnya pada hari kejadian,” kata Azman Ili, 43, bapa bayi lelaki, Aariz Harraz Zahin Azman, 9 bulan, yang meninggal dunia pagi tadi dipercayai didera pengasuhnya.

Ditemui di Hospital Sibu tengah hari tadi, Azman berkata, dia dan isteri tidak menyangka sama sekali kelakuan pelik itu ‘petunjuk’ anak bongsu mereka itu enggan dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.

“Zahin menangis selama sejam pada jam 3 pagi hari kejadian, malah berperangai pelik apabila dihantar kepada pengasuhnya, seolah-olah tidak mahu dihantar ke situ.

“Ia mungkin satu petanda... kami reda dengan pemergiannya. Cuma, saya dan isteri terkilan mengapa pengasuh itu sanggup bertindak begini kepada anak kami,” katanya.

Zahin meninggal dunia di pangkuan ibunya di Hospital Sibu jam 11.55 pagi tadi selepas mesin bantuan hayatnya dipadamkan jam 11.30 pagi.

Mangsa menerima rawatan sejak Isnin lalu dan disahkan ‘mati otak’ pada jam 9.10 pagi semalam oleh pasukan perubatan yang merawatnya.

Turut menziarahi mangsa dan keluarganya di Hospital Sibu ialah Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee.

Azman berkata, dia tidak menyangka pengasuh berkenaan yang berperwatakan baik, mesra dan peramah, sanggup bertindak kejam ke atas bayi mereka.

“Mungkin cara pengasuh yang kelihatan baik itu ‘mengaburi’ mata kami ibu bapa walaupun Zahin ada menunjukkan tanda-tanda ‘kurang senang’ bila mahu dihantar ke rumahnya,” katanya.

Katanya, dia dan isterinya sentiasa memeriksa tubuh badan anaknya sebaik diambil dari pengasuh, namun tidak pernah menemui sebarang kesan lebam.

“Bagaimanapun, kami pernah melihat matanya kemerah-merahan. Apabila ditanya kepada pengasuh, dia beritahu Zahin baru bangun tidur.

“Dia juga kuat menyusu sebaik diambil dari pengasuh itu tetapi kami tidak berfikiran negatif. Mungkin dia tidak menyusu kerana sedang tidur,” katanya.

Mengimbas kembali lima bulan lalu, Azman memberitahu dia dan isteri terdesak mencari pengasuh kerana kedua-duanya bekerja sebagai guru.

“Anak-anak lain sebelum ini dihantar ke pusat asuhan, tetapi kerana Zahin dilahirkan pada pertengahan tahun, semua pusat asuhan sudah penuh.

“Sebab itulah, kami menghantar Zahin kepada pengasuh persendirian itu selepas mendapat maklumat wanita itu ada menyediakan perkhidmatan mengasuh di rumahnya,” katanya.

Dia berharap tragedi menimpa keluarganya dapat menjadi peringatan kepada ibu bapa lain yang menghantar anak-anak mereka untuk dijaga pengasuh.

“Buatlah pemeriksaan latar belakang betul-betul. Saya harap tragedi ini akan menjadi pengajaran ibu bapa lain,” katanya.

Berita berkaitan

Adik Aariz sudah tiada

'Terima kasih Allah pinjamkan Aariz Harraz Zahin'

Bangun sayang.....

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 2:49 PM