SUSPEK maut ditembak polis selepas menculik dan mengacukan pisau di leher seorang kanak-kanak. FOTO ihsan polis.
SUSPEK maut ditembak polis selepas menculik dan mengacukan pisau di leher seorang kanak-kanak. FOTO ihsan polis.
Junaidi Ladjana


“SAYA berkali-kali merayu kepada lelaki itu (suspek) kerana kasihan melihat anak saudara dalam keadaan lemah dengan pisau dipegang suspek diacukan pada lehernya," kata Mohd Karim Bantala, 42.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Zohor sebelum terkejut apabila dimaklumkan anak saudaranya diculik seorang lelaki.

“Saya segera naik ke tingkat empat dan meminta suspek melepaskan anak saudara saya, tetapi dia enggan dan mengarahkan supaya tidak menghampirinya.

“Beberapa kali lelaki itu cuba membuang (mencampak) anak saudara saya melalui tingkap. Saya hanya merayu supaya dia melepaskannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Taman Telipok Ria, Tuaran, Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Karim berkata, dia tidak mengenali lelaki terbabit namun bersyukur anak saudaranya selamat.

Ibu kanak-kanak terbabit, Herna Hasim, 27, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat dalam rumah bersama ahli keluarga lain manakala anaknya bermain bersama kanak-kanak lain di luar rumah.

“Saya hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jiran menjerit mengatakan anak saya diculik. Tanpa berlengah saya keluar dan dimaklumkan anak saya dibawa masuk ke dalam rumah jiran berhadapan dengan rumah.

“Saya tidak mengenali lelaki itu dan tidak pernah menemuinya," katanya.

Sementara itu, NSTP difahamkan, sebelum kejadian suspek dikatakan berkeliaran di tingkat bawah lokasi kejadian.

Suspek juga dikatakan sempat membeli air minuman daripada sebuah rumah yang menjual barangan runcit sebelum menculik mangsa yang sedang bermain di hadapan rumah berkenaan.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Berakhirnya debaran 4 jam
  • Suspek culik budak dipercayai sakit mental
  • [UPDATE] Suspek jadikan budak tebusan ditembak mati
  • Budak perempuan 2 tahun jadi tebusan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:26 PM