KEDUA-DUA suspek dibawa ke mahkamah. FOTO Nor Farhani Che Ad
Muhammad Mustakim Ramli dan Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


PRESIDEN Skuad Badar, Azhar Mohamad direman empat hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.

Difahamkan, perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Azhar, 46, ditahan kira-kira jam 10 malam semalam, bersama seorang lagi ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang berusia 30-an, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Difahamkan penahanan kedua-dua mereka dipercayai susulan laporan yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) terhadap Azhar seperti yang tular di laman sosial.

Azhar dikatakan ditahan kerana melakukan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran JHEAIK dan skuad itu tidak pernah dilantik menjadi penguat kuasa agama yang sah.

Selain itu, skuad juga didakwa tidak pernah diberikan tauliah, dibenarkan memasuki premis tanpa kebenaran dan waran geledah.

Penahanan pengasas NGO itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 1:08 PM