LAPORAN portal Harian Metro mengenai kes lelaki menjadikan kanak-kanak sebagai tebusan
LAPORAN portal Harian Metro mengenai kes lelaki menjadikan kanak-kanak sebagai tebusan
Junaidi Ladjana dan Fardy Bungga


POLIS menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti lelaki yang ditembak mati selepas menjadikan budak perempuan dua tahun sebagai tebusan di Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu, semalam, berdasarkan telefon bimbit di lokasi kejadian, dipercayai milik suspek.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, sebaik suspek ditembak mati, polis menjalankan pemeriksaan dan menemui telefon bimbit di badan suspek dan kini pihaknya menyiasat senarai panggilan dalam telefon bimbit terbabit.

“Polis juga mengambil cap jari suspek dan dihantar Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesan sama ada suspek memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Omar berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan tiada seorang pun penghuni di taman perumahan itu mengenali suspek terbabit.

Beliau juga mengesahkan kanak-kanak terbabit yang kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas dalam keadaan stabil.

Ditanya mengenai kejayaan polis menembak mati suspek sehingga menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang dijadikan tebusan, Omar berkata, anggota polis terbabit daripada pasukan yang terlatih.

“Mereka adalah anggota terlatih dan khas untuk respons awal sekiranya berlaku kejadian seperti semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, petang hari ini, Omar berkata, ketika rundingan polis dengan suspek menggunakan bahasa Suluk, suspek ada menyebut nama ‘Rashid’, namun sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti siapa individu dimaksudkan dan kaitannya dengan kes berkenaan.

Katanya, siasatan di lokasi mendapati, penduduk tidak mengenali suspek atau individu dikenali sebagai Rashid dan beliau menafikan khabar angin menyatakan suspek mempunyai hubungan dengan ibu bapa mangsa.

Omar turut menafikan khabar angin kononnya kecederaan di leher mangsa adalah disebabkan tembakan sebaliknya mengesahkan luka pada mangsa adalah disebabkan pisau yang dibawa suspek.

Dalam kejadian semalam, suspek lelaki berusia 30-an melarikan mangsa yang sedang bermain di tingkat empat pangsapuri berhampiran rumahnya lalu menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan di sebuah rumah di tingkat sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak itu dari bahagian dapur rumah di tingkat empat berkenaan sebelum ditembak mati oleh anggota polis.

Mangsa yang cedera di leher kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] 'Saya hanya mampu merayu
  • [UPDATE] Berakhirnya debaran 4 jam
  • Suspek culik budak dipercayai sakit mental
  • [UPDATE] Suspek jadikan budak tebusan ditembak mati
  • Budak perempuan 2 tahun jadi tebusan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 5:38 PM