SUKARELAWAN TCS menyelamatkan seekor tuntung yang terkena taut. FOTO ihsan TCS


PERBUATAN menahan ‘taut’ oleh segelintir penduduk Pasir Gajah, dekat Chukai, boleh menyebabkan kepupusan tuntung sungai yang dilindungi dan terancam.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, perkara itu dikesan sekumpulan sukarelawannya yang menemui seekor tuntung dan seekor burung bangau terkena taut terbabit.

Katanya, seperti biasa, sukarelawan TCS akan menjalankan pemantauan rutin di sungai itu sebagai persediaan musim tuntung naik bertelur atau dipanggil musim persarangan tuntung.

“Kami sangat terkejut apabila mendapati hidupan liar termasuk tuntung sungai yang kian pupus terperangkap pada taut milik nelayan termasuk seekor burung bangau.

“Sukarelawan kami segera menyelamatkan kedua-dua spesis itu. Haiwan itu mungkin mati jika kami lambat bertindak,” katanya.

Chen berkata, tuntung yang terkena taut itu adalah tuntung sungai jantan yang mempamerkan warna pembiakan sepenuhnya (musim mengawan).

“Saya amat sedih memandangkan bilangan tuntung semakin berkurangan bukan saja di Terengganu tetapi di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, taut ialah mata kail yang diikat pada tali pancing dan digantung dari ranting pokok di tepi sungai dan ia lazimnya menggunakan ikan atau perut ayam sebagai umpan.

“Kejadian sebegitu perlu dilihat secara serius kerana spesis itu disenaraikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Perkara ini dilihat sebagai satu faktor kepada kepupusan haiwan terbabit dan apatah lagi ia terkena pada spesis tuntung jantan yang sangat jarang dijumpai,” katanya.

Katanya, di Semenanjung Malaysia, taburan tuntung sungai hanya direkodkan di Kedah, Perak dan Terengganu serta spesies itu tidak dijumpai di Sabah dan Sarawak.

“TCS memulakan Projek Pemuliharaan Tuntung Sungai Kemaman pada 2011 dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta penduduk tempatan Kampung Pasir Gajah.

“Sehingga kini, lebih 4,700 telur dieramkan dan lebih daripada 2,800 anak tuntung dilepaskan di Sungai Kemaman.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Zawawi Ali ketika dihubungi menasihatkan kepada nelayan sungai agar lebih peka dengan keadaan sekitar sebelum menggunakan taut.

Katanya, ia amat penting bagi memastikan tiada hidupan yang mungkin akan tercedera atau mati akibat tersangkut pada mata kail taut yang dipasang.

“Biasanya nelayan sungai yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan sudah sedia maklum dengan sungai yang menjadi kawasan tuntung dan tidak memasang taut di kawasan terbabit,” katanya.

Katanya, setakat ini semua alatan nelayan darat belum dilesenkan termasuk taut kerana masih tiada enakmen yang mewajibkan ianya perlu mengikut peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 6:27 PM