KETUA Penolong Pengarah Pengurusan Halal JHEAIK Syeikh Azhari Mohamad (dua kanan) menyoal pekerja sebuah restoran masi kandar di Alor Setar dalam operasi, hari ini. Foto AMRAN HAMID
Noorazura Abdul Rahman


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah mengesan dua restoran nasi kandar di negeri ini yang mengenakan harga makanan tidak munasabah.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Chin Ching Chung berkata, dua restoran terbabit mengenakan harga RM7.50 bagi nasi goreng ayam dan RM8.50 bagi bihun goreng ayam termasuk caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Berikutan itu, katanya, restoran terbabit diberi tempoh 10 hari untuk memberi alasan berhubung tindakan mereka mengenakan harga terbabit atau tindakan diambil ke atas mereka.

“Harga biasa jualan bagi dua makanan itu adalah RM6, tetapi mereka mengenakan caj lebih tinggi. Kedua-dua restoran perlu memberi penjelasan berhubung harga itu berserta pecahan kos operasi dan barang yang dijual.

“Jika penjelasan tidak memuaskan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bersepadu di Alor Setar, hari ini.

Operasi terbabit turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.

Ching Chung berkata, notis ke atas dua restoran berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Halal (Bahagian Pengurusan Halal) JHEAIK, Syeikh Azhari Mohamad berkata, pihaknya turut mengarahkan salah sebuah restoran yang tidak mempunyai sijil halal menurunkan ayat al-Quran yang digantung.

Katanya, pemilik restoran itu dinasihatkan untuk memohon sijil halal supaya dapat meyakinkan pelanggan beragama Islam.

“JHEAIK menasihatkan umat Islam agar memilih untuk makan di restoran yang mempunyai sijil halal. Tahun lalu kami meluluskan 80 peratus daripada 450 permohonan daripada premis makan, produk dan rumah sembelihan.

“Yang tidak lulus itu kerana mereka tidak mengikut syarat halal, contohnya mereka mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang tidak mempunyai sijil halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 6:57 PM