Shamsul Amar Ramli (dua kanan) merasmikan Sudut Informasi PDRM di Masjid Kampung Raja Uda. FOTO Ruwaida Md Zain.
Shamsul Amar Ramli (dua kanan) merasmikan Sudut Informasi PDRM di Masjid Kampung Raja Uda. FOTO Ruwaida Md Zain.
Ruwaida Md Zain

EMPAT puluh lapan kes jenayah di kawasan masjid sekitar Klang, direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kebanyakan kes itu membabitkan kecurian dengan 10 kes dalam siasatan.

“Daripada 10 itu pula, ada berkait kecurian wang tabung masjid selain kehilangan kenderaan yang diletakkan dalam kawasan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Satu Masjid Satu Polis (1M1P), Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan di Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin dan Nazir Masjid Kampung Raja Uda, Ismail Arsat.

Pada majlis itu, Shamsul Amar turut melancarkan Peti Aduan Polis di masjid berkenaan bagi membolehkan jemaah dan kariah menyalurkan maklumat berkaitan jenayah untuk tindakan.

Mengenai program 1M1P, beliau berkata, inisiatif itu akan membabitkan 22 masjid yang terletak di bawah pentadbiran pasukannya.

“Seramai 22 Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) dari IPD Klang Selatan dilantik untuk bersama-sama pengurusan masjid menjayakan program ini.

“Dari segi penugasan, PPM perlu hadir sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk bersama ahli jawatankuasa masjid, berbincang dan melihat bagaimana untuk menangani isu-isu jenayah di kawasan masing-masing, selain sertai program anjuran masjid.

“Insya Allah, kita jangka isu jenayah di masjid dapat ditangani sebaik mungkin menerusi program sebegini,” katanya yang memberitahu PPM dilantik dalam kalangan anggota yang biasa di satu-satu kariah.

Beliau juga menetapkan semua PPM memakai seragam polis agar kehadiran mereka diketahui dan memudahkan kerjasama dengan semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:17 PM