Jenazah Aariz Harraz Zahin dibawa keluar dari bilik mayat untuk dimasukkan ke van jenazah sebelum dibawa balik ke Igan untuk dikebumikan. FOTO Harun Yahya


JENAZAH Aariz Harraz Zahin Azman, bayi lelaki berusia sembilan bulan yang meninggal dunia akibat didera pengasuhnya Ahad lalu, dikebumikan malam ini.

Jenazah Aariz Harraz Zahin dikebumikan di kampung halaman bapanya di Igan, Mukah, selepas bedah siasat selesai petang hari ini.

Bapa arwah, Azman Ili, 43, berkata, jenazah anaknya selesai dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di rumah mayat Hospital Sibu sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya, kira-kira 7.40 petang hari ini.

“Van jenazah tiba dari kampung dan kami sekeluarga mahu segerakan urusan pengebumian.

“Saya reda dengan ketentuan ini dan berharap semua urusan diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Azman berkata, pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Igan itu dihadiri keluarga terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan pada bahagian dalam kepala dan bengkak dalam otak.

“Kesan cedera yang dialami ini konsisten dengan bayi yang digoncang dengan kuat dan bukan disebabkan jatuh atau penyakit.

“Bedah siasat selesai dijalankan oleh Pakar Patologi dari Hospital Umum Sarawak di Kuching, Dr S Kunasilan, pada 5.45 petang tadi,” katanya.

Bayi malang itu disahkan meninggal meninggal dunia selepas menerima rawatan sejak 7 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah pengasuh di Taman Permai Jaya, Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua matanya, selain mengalami retak pada kiri kepala akibat hentakan kuat.

Seorang wanita berusia 39 tahun ditahan polis susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa sebelum mendedahkan dia mengoncang-goncangkan bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis, selain tertekan kerana mengalami kesakitan akibat haid.

Berita berkaitan

Kematian Aariz Harraz diklasifikasikan kes bunuh

'Akhirnya saya faham kelakuan pelik Zahin'

Adik Aariz sudah tiada

'Terima kasih Allah pinjamkan Aariz Harraz Zahin'

Bangun sayang.....

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 9:41 PM