ZURAIDA. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Apendy Issahak

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies untuk mengambil langkah dalam menangani wabak berkenaan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa bertindak bagi menangani wabak itu adalah di bawah Menteri Besar mana-mana negeri yang terkesan.

“Melihatkan kes ini serius jadi ada keperluan KPKT mengeluarkan arahan agar PBT menggerakkan anggota supaya dalam keadaan teratur dan terancang bagi turut sama membantu menanganinya.

“Bagaimanapun bagi wabak ini, PBT tidak boleh menangkap anjing liar sendiri kerana kita tiada kepakaran dari segi perubatan dan segala usaha menangani wabak ini adalah secara bersama dengan pelbagai agensi lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek Youth City di Tanjung Malim, hari ini.

Zuraida berkata, pihak PBT sering menerima aduan isu mengenai anjing liar, namun bagi menangani kes berhubung wabak rabies tindakan adalah di bawah Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

JPV dalam satu kenyataan memaklumkan mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila sejak Isnin lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dipetik berkata, ia susulan laporan diterima daripada pengadu di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, 31 Disember lalu yang melaporkan dua ahli keluarganya digigit oleh seekor anjing dan sampel otak daripada anjing itu diuji serta disahkan positif penyakit rabies.

Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan kedua-dua mangsa yang digigit anjing itu tidak positif jangkitan itu, bermakna belum ada kes jangkitan pada manusia di kawasan yang baru diwartakan berkenaan.

Berita berkaitan

Patuh arahan elak jangkitan anjing gila

Taiping, Bukit Gantang diwarta wabak rabies

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 1:47 PM