FARID Kamil (kanan) berbincang dengan peguamnya di Mahkamah Petaling Jaya. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Sarah Zulkifli


SEORANG saksi bagi kes perbicaraan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, yang dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah mengesahkan hasil ujian air kencing tertuduh positif dadah kanabis (ganja).

Siti Fatimah Ngadi, 29, yang juga Pegawai Sains di Makmal Dadah Dan Penyelidikan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, hasil analisa akhir mendapati sampel air kencing pelakon itu mengandungi 11 nor-delta-9 tetrahydrocannabino1-9-carboxylic acid iaitu kandungan dadah jenis kanabis.

Saksi ketiga pendakwaan itu berkata, beliau menerima borang pengesanan dadah berbahaya dalam air kencing, pada 12 Januari 2018, iaitu sehari selepas insiden Farid, 38, didakwa menampar seorang anggota polis dan seorang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

“Saya menerima borang permintaan untuk melakukan pengesanan dadah daripada Inspektor Asrul Izwan Mahizan.

“Kemudian, ujian saringan air kencing dijalankan pada hari sama menggunakan kaedah Immunoassay dengan peralatan Chemistry Cobas 6000 ke atas sampel air kencing itu yang kemudian disimpan di dalam peti sejuk pada suhu dua hingga lapan darjah celcius,” katanya dalam sesi pemeriksaan utama yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran pada perbicaraan kes urin dihadapi pelakon utama Lagenda Budak Setan itu.

Siti Fatimah berkata, tiga hari selepas menjalankan saringan ke atas sampel air kencing Farid, iaitu pada 15 Januari 2018, beliau kemudian menjalankan ujian pengesahan menggunakan kaedah Thin Layer Chromatography.

“Hasil akhir ujian analisa mendapati sampel air kencing itu mengandungi kesan dadah THC yang terdapat dalam kanabis,” katanya.

“Laporan ujian air kencing itu kemudiannya diserahkan semula kepada Inspektor Asrul keesokannya, iaitu pada 16 Januari 2018,” katanya.

Ketika menjawab soalan Alia Sumayyah berkaitan perubahan sifat air kencing yang disimpan di dalam peti sejuk itu dari 12 Januari sehingga 15 Januari, saksi itu memberitahu tiada sebarang perubahan struktur kualiti dan kuantiti air kencing Farid.

Jelasnya, beliau mengesahkan botol air kencing itu adalah milik Farid Kamil berdasarkan kepada nama tertera pada pelekat yang ditampal di botol itu.

Sementara itu, ketika disoal peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid mengenai sama ada menjadi isu air kencing itu dicemari bakteria atau tidak, beliau menjawab tiada masalah.

Berhubung isu sama, Siti Fatimah mengakui bahawa tidak mengetahui di mana urin milik pelakon itu berada sebelum diserahkan oleh pegawai penyiasat kes itu.

Pada 25 Januari 2018, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dakwaan menggunakan dadah THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya jam 4.30 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:01 PM