RUSLI melihat kereta Proton Waja yang ditembak pada tayar depan yang cuba melarikan diri selepas sidang media di Kompleks AKSEM, Rantau Panjang, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


AGENSI Kawalan Sempadan (AKSEM) Kelantan terpaksa melepaskan satu das tembakan untuk memberhentikan kereta dipercayai sindiket menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di pangkalan haram di Kampung Bagus, Rantau Panjang, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, tembakan yang mengenai tayar hadapan sebelah kiri kereta Proton Waja itu untuk mempertahankan diri selepas pemandunya cuba melanggar anggota penguat kuasa.

Tembakan itu mengakibatkan kereta itu hilang kawalan sebelum pemandu memberhentikan kenderaan terbabit, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander AKSEM Kelantan, Rusli Karim berkata, anggota penguat kuasa kemudian menahan pemandu kereta warga tempatan berusia 32 tahun untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan menemui lapan lelaki warga Myanmar di dalam kereta itu yang cuba keluar dari negara ini menerusi pangkalan haram.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu itu bertindak sebagai ‘tekong darat’.

“Dalam operasi itu, kita juga berjaya menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria yang membawa 12 penumpang PATI warga Myanmar termasuk empat wanita dan seorang bayi perempuan berusia empat bulan.

“Bagaimanapun pemandunya sempat melarikan diri,” katanya dalam sidang media di Kompleks AKSEM Rantau Panjang, hari ini.

Menurutnya, terdahulu pihaknya memperoleh maklumat awam kira-kira jam 5 pagi berlaku penyeludupan PATI dari Stesen Bas di Lembah Sireh, Kota Bharu ke Rantau Panjang.

“Pemantauan dijalankan mendapati 20 PATI dibawa masuk ke dalam dua kenderaan itu. Kami kemudian mengekori kenderaan terbabit sebelum berjaya menahan mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,

“Operasi dari semasa ke semasa akan dijalankan untuk mematahkan rangkaian sindiket penyeludupan migran ini di sempadan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:51 PM