Shamsul Kamal Amarudin


“TIDAK mampu puan, minta rayuan (lagi),” kata warga Filipina, Wahid Abdusaid, apabila didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menggunakan Mykad palsu di Mahkamah Majistret Manjung, hari ini.

Wahid, 49, yang berasal dari Mindanao, didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, oleh Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Tertuduh didakwa tanpa sebarang kuasa sah memiliki Mykad palsu atas nama Nazir bin Ibrahim sebagai pengenalan diri di premis Sapura Kencana Sitiawan dekat Seri Manjung, 10.30 pagi, Selasa lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ahmad Firdaus Che Md Rose manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Wahid ditahan anggota penguatkuasa JPN Perak dibantu anggota polis bantuan Sapura Kencana di premis syarikat itu ketika dia sedang memohon pekerjaan di situ.


WARGA Filipina, Wahid Abdusaid didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah menggunakan Mykad palsu di Mahkamah Majistret Manjung. FOTO Muhaizan Yahya

Semakan kemudian mendapati nama dan nombor pengenalan yang terdapat dalam Mykad digunakan tertuduh adalah milik orang lain.

Terdahulu, dalam rayuannya, Wahid berkata dia sudah dua tahun menetap di negara ini dan tidak sampai setahun menggunakan Mykad itu yang diberikan oleh rakannya.

Dia yang mempunyai keluarga di Mindanao merayu agar dikenakan hukuman denda sahaja dan tidak dipenjarakan.

Bagaimanapun, selepas mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu, Wahid terus bersuara dari kandang tertuduh mengatakan dia tidak mampu membayar denda itu dan memohon dikurangkan lagi jumlah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:45 AM