ANGGOTA bomba memadam kebakaran stor perabot di Kampung Chonang Jaya, Kuala Nerus, hari ini. Foto AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENIAGA perabot warga Pakistan mendakwa mengalami kerugian lebih RM60,000 apabila stor perabotnya terbakar di Kampung Chonang Jaya, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemiliknya, Said Akbar Ahmad Said, 55, menerima panggilan daripada pekerjanya dan mendapati sebahagian besar stornya musnah dalam kebakaran terbabit.

Said Akbar berkata, dia terkejut melihat stor perabotnya hangus dijilat api, namun bersyukur kejadian itu tidak membabitkan nyawa pekerjanya.

“Saya tidak pasti punca kebakaran, namun tidak menolak berkemungkinan akibat masalah pendawaian elektrik di bahagian dapur di dalam stor berkenaan.

“Semua pekerja, orang ramai dan anggota bomba sudah berusaha untuk menyelamatkan perabot di dalam stor, tetapi gagal kerana api marak terlalu cepat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Zaini Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 4.40 petang.

“Ketika tiba di tempat kejadian, stor itu sudah terbakar 70 peratus dan kebakaran itu berjaya dikawal 35 minit kemudian.

“Kerja memadam kebakaran sedikit mencabar kerana barangan yang disimpan semuanya membabitkan kayu dan mudah terbakar,” katanya.

Katanya, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus dan (BBP) Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian membabitkan tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 10:10 PM