Ustazah Nur Farhana Ibrahim. FOTO ihsan pembaca
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sedia memudahkan proses pertukaran Ustazah Nur Farhana Ibrahim ke sekolah di negeri ini sekiranya JPN Pulau Pinang mahu ‘melepaskan’ beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said berkata, sehingga kini, pihaknya masih menunggu jawapan daripada JPN Pulau Pinang mengenai pertukaran guru agama itu.

Katanya, adalah menjadi harapan pihaknya agar Nur Farhana, 27, dapat segera bertugas di Kedah demi meringankan beban yang dialaminya.

“JPN Kedah belum boleh buat apa-apa selagi JPN Pulau Pinang tidak membuat keputusan mengenai permohonan pertukaran guru itu ke negeri ini, jika beliau ‘dilepaskan’ kita akan bantu permudahkan urusan beliau untuk mengajar di mana-mana sekolah bersesuaian di sini.

“Kita tidak pasti berapa lama proses pertukaran dapat dibuat kerana sehingga kini beliau masih terikat dengan JPN Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Hari Kerjaya anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Nur Farhana disedari suaminya selepas dia tidak pulang ke rumah mereka di Alor Senibong, Langgar, Alor Setar pada petang Isnin seperti kebiasaan.

Wanita itu pernah menerima rawatan kemurungan pada 2014 dan dipercayai mengalami kemurungan berikutan terpaksa berulang-alik setiap hari dari Langgar (Alor Setar) ke Balik Pulau (Pulau Pinang) untuk mengajar di sekolah berkenaan.

Jarak sehala Langgar ke Balik Pulau ialah kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah itu banyak kali memohon berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.

Sementara itu, Dr Salmee mengakui pihaknya menerima banyak rayuan pertukaran guru ke Kedah.

Katanya, JPN negeri terpaksa menangguhkan permohonan itu berikutan tiada kekosongan.

“Memang kita dengar masalah guru yang hendak tukar ini terlalu ramai, ada yang datang ke pejabat saya minta tukar kerana masalah keluarga, masalah suami jauh dan sebagainya.

“Tetapi kadang-kadang jawatan yang kita hendak letak guru itu tidak sesuai jadi kita terpaksa tangguh dulu. Bagaimanapun JPN sentiasa mempertimbangkan permohonan mereka dan jika ada kosong kita akan cepat isi dengan guru yang sudah memohon,” katanya.

Berita berkaitan

Beri ruang kepada Nur Farhana

Ustazah tidur di surau

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat

Guna K9 cari Ustazah Nur Farhana

Di mana Ustazah Nur Farhana?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 4:43 PM