Gambar dan mesej yang tular di laman sosial mengenai kematian seekor harimau.
Mohd Hilmie Hussin


GAMBAR seekor harimau yang didakwa ditemui mati dilanggar di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di kawasan Umbai, Jasin adalah gambar lama.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka, Noor Zakiah Hanum berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai perkara itu dan kesal dengan sikap individu tidak bertanggungjawab yang sengaja menyebarkan perkara berkenaan.

“Ini maklumat palsu, gambar yang dipaparkan sebenarnya berlaku di Kilometer 321.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hampir tiga tahun lalu dan pernah mendapat liputan media.

“Kita kesal dengan penyebaran maklumat palsu seperti ini dan ada akta yang boleh mengekang serta mengambil tindakan ke atas penyebaran berita palsu ini kerana dianggap menggugat keamanan khususnya di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya.

Zakiah berkata, tahun lalu pihaknya turut membuat penafian berkaitan penyebaran kemunculan seekor harimau belang yang didakwa berlaku di Jasin namun berita tular itu berlaku di Indonesia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi berkata, kejadian yang tular itu tidak berlaku di Melaka.

Gambar berkenaan tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sejak malam semalam.

Selain itu ia juga meminta orang ramai terutama penduduk Umbai dan Jasin berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 5:40 PM