Rina (empat kiri) bergambar bersama ahli panel Dialog Bersama Usahawan Wanita Malaysia. FOTO Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PELAN khas yang lebih komprehensif dan mampan untuk membantu golongan usahawan di negara ini, dijangka siap selewat-lewatnya Jun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata, pelan itu kini di peringkat perbincangan kementerian dan apabila siap kelak, ia memberi banyak manfaat kepada usahawan khususnya di luar bandar.

“Pelan atau Road Map Usahawan itu antara lain memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan yang juga antara salah satu teras dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023.

“Ia bukan saja dapat membantu golongan usahawan malah pada masa sama, mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin serta penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang kompetitif terutama dari kawasan luar bandar,” katanya selepas merasmikan program Dialog Bersama Usahawan Wanita Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datin Hazimah Zainuddin; Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting dan artis Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, pihaknya berharap parti berkenaan mempertimbangkan untuk meletakkan calon wanita bertanding pada PRK kali ini.

Untuk itu Rina berkata, pihaknya juga sudah menghantar cadangan nama (calon wanita) untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan BERSATU.

“Mesyuarat peringkat parti bagaimanapun belum diadakan kerana Pengerusi (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) kini berada di luar negara.

“Apapun, di pihak Srikandi, kita berserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 10:27 PM