Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia akan mengeluarkan tender bagi pembelian baju kalis api untuk anggotanya pada 23 Januari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, tender baharu itu dikeluarkan kerana anggota bomba memerlukan baju keselamatan berkenaan.

Katanya, baju kalis api yang sedia ada tidak menepati standard yang ditetapkan.

“Buat masa ini, baju kalis api memang sangat terdesak diperlukan oleh bomba di seluruh negara. Pada awalnya nak buat 6,000 pasang.

“Namun, saya suruh kaji untuk meningkatkan stok baju kalis api kepada 9,000 pasang. Ini berikutan, kita perlu ada stok jika ada yang rosak.

“Kita juga memikirkan kegunaan untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Marin di penempatan semula nelayan di Kampung Pak Mayong, Tok Bali, di Pasir Puteh, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang membuat siasatan berhubung pembelian 6,000 baju kalis api yang bernilai RM13.5 juta.

Harian Metro sebelum melaporkan, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dianggap berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.

Ini menyebabkan anggota di balai berkenaan dikatakan terpaksa menggunakan baju kalis api ‘usang’ yang koyak atau berkongsi baju sama dengan rakan lain yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.

Lebih memburukkan keadaan, pembelian 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta pada 2016 lalu dirampas SPRM selepas kontraktor dilantik JBPM membekalkan pakaian yang dihasilkan daripada plastik yang merisikokan nyawa penggunanya walaupun ia bernilai RM2,400 hingga RM2,500 sepasang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 2:56 PM