BERNAMA

POLIS menahan suami isteri yang disyaki melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Semerak, Pasir Puteh dalam serbuan ke atas sebuah rumah di perkampungan nelayan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abd Rozak Mohamad berkata, dalam serbuan jam 4.30 pagi itu, pelbagai barangan termasuk rantai emas, telefon bimbit, jam tangan berjenama yang bernilai lebih RM24,000 dirampas.

“Mereka yang berusia 32 dan 37 tahun itu direman empat hari bermula Jumaat lalu untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang tidak bekerja dan mempunyai tiga orang anak disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Katanya, suspek lelaki mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah selain melakukan kegiatan pecah rumah sejak beberapa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 8:34 PM