PENDUDUK menikmati makanan yang dihidangkan dalam talam sambil bersila di Rumah Pusaka Warisan Kampung Tua, Gunung Semanggol. FOTO Ihsan Unit Media MPKK Mukim Gunung Semanggol
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


LELAKI memakai kain sarung, berbaju Melayu dan makan dalam satu dulang beramai-ramai sambil bersila.

Itu antara cara tradisi penduduk di Kampung Tua, Mukim Gunung Semanggol, Bagan Serai yang masih mengamalkan adat Melayu asli dalam majlis kenduri.

Ia diserikan lagi apabila masakan yang dihidangkan dimasak secara gotong-royong oleh penduduk seolah-olah semua mereka mempunyai hubungan kekeluargaan.

Kenduri yang diadakan itu juga dianggap tidak lengkap tanpa menu pencuci mulut iaitu Wadai Kipeng, iaitu sejenis kuih seperti bubur, yang menjadi antara menu wajib kerana majoriti penduduk berketurunan Banjar.

Penghulu Mukim Gunung Semanggol, Zamri Ariffin berkata, kenduri kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di Rumah Pusaka Warisan, Kampung Tua, Semanggol itu sempena pelantikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ahli Jawatakuasa mukim itu yang menerima watikah pelantikan bulan lalu.

Menurutnya, konsep kenduri klasik yang dibuat itu bertujuan mengembalikan nostalgia zaman perpaduan dan keakraban hidup orang Melayu dahulu.

“Konsep makan bertalam (makan dalam dulang), duduk bersila sambil memakai pakaian ala Melayu klasik sengaja diwujudkan bagi mengembalikan nostalgia penduduk di samping memastikan ia tidak ditelan zaman.

“Ia juga bertujuan menunjukkan kepada generasi muda bahawa inilah konsep makan kenduri yang diamalkan orang Melayu dulu.

“Namun, antara elemen yang unik ialah segala menu masakan yang dihidangkan dimasak secara bergotong-royong. Tidak kira tua, muda, lelaki dan wanita, semua ada tugasan masing-masing dalam menjayakan sebarang majlis kenduri,” katanya.

Menurutnya, di daerah Kerian khususnya di mukim itu, kebiasaannya aktiviti menyediakan bahan dan memasak Wadai Kipeng dilakukan golongan wanita manakala penduduk lelaki memasak masakan utama seperti nasi dan lauk-pauk.

Katanya, kira-kira 85 peratus penduduk Melayu berketurunan Banjar terdapat di Kerian, dan boleh dikatakan hampir setiap kampung masih mempraktikkan hidangan makan dalam dulang dan duduk bersila dalam sebarang majlis kenduri termasuk majlis perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 10:21 PM