PENUNGGANG motosikal yang diperiksa dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Pantai Kuala Kurau berhampiran Pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, semalam. Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


“BANG minta tolong bagi tau (anggota) polis tu, jangan saman banyak sangat, jenuh (susah) nak bayaq (bayar), motor (motosikal milik) mak ni.”

Begitu kata seorang remaja lelaki kepada wartawan NSTP selepas ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Pantai berhampiran Pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, malam tadi.

Rayuan itu, bagaimanapun tidak diendahkan oleh anggota polis bertugas.

Sebaliknya, remaja berusia belasan tahun itu dikenakan tiga saman kerana tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar ketika ditahan.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, operasi bermula jam 5 petang hingga 9 malam itu membabitkan 22 anggota termasuk dua pegawai.

Menurutnya, sebanyak 58 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal di atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan tiada lesen memandu mencatat kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 21 kes diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi iaitu sebanyak 17 kes.

“Selain itu, 70 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 44 buah motosikal disaman dengan dua daripadanya disita.

“Pihak polis akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa khususnya bagi membanteras gejala lumba haram,” katanya.

Tinjauan NSTP di lokasi mendapati lebih 100 motosikal yang berada di lokasi berjaya meloloskan diri melalui beberapa jalan kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 12:58 AM