Lelaki terbabit ditenangkan pihak berkuasa selepas membatalkan niatnya untuk terjun. FOTO Ihsan Bomba
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LELAKI berusia 57 tahun mengugut untuk terjun dari tingkat 13 sebuah blok pangsapuri di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.40 malam tadi.

Katanya, pengadu ternampak kelibat seorang lelaki sedang berdiri di tembok balkoni dalam keadaan memandang ke bawah dipercayai untuk membunuh diri.

“Pengadu yang bimbang sesuatu berlaku ke atas lelaki berkenaan bertindak menghubungi pihak polis.

“Pihak polis yang tiba di blok berkenaan bersama anggota bomba memujuk lelaki terbabit agar membatalkan niatnya dan lelaki itu bersetuju kira-kira 20 minit kemudian sebelum dia dibawa turun ke kawasan lapang,” katanya yang dihubungi NSTP hari ini.

Wari berkata pihaknya masih menyiasat punca sebenar lelaki itu mahu membunuh diri.

“Setakat ini maklumat yang kita terima, dia yang sudah berkahwin tinggal di blok berkenaan tetapi di tingkat enam.

“Bagaimanapun dia masih belum menceritakan hal sebenar sehingga dirinya bertindak untuk membunuh diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 9:41 AM