Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


SINDIKET penyeludupan minuman keras yang beroperasi sejak dua tahun lalu di Kawasan Perindustrian Kinrara di sini dan dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit akhirnya lumpuh apabila digempur polis, kelmarin.

Dalam serbuan oleh Bahagian Perisikan/Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, kira-kira jam 7 pagi itu, sebanyak 553 kotak minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.6 juta dirampas.

Pengarah KDNKA, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya menahan sembilan lelaki membabitkan lima warga Myanmar dan empat warga tempatan yang kini direman selama empat hari bermula semalam.

Katanya, ketika diserbu, kesemua lelaki terbabit sedang melakukan kerja pemunggahan serta pembungkusan semula minuman keras berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati, kesemua minuman keras yang disahkan asli itu diseludup dari selatan negara dan dibawa ke sini bagi proses pembungkusan sebelum diedarkan untuk pasaran di Lembah Klang dan utara negara.

"Di sini, kesemua minuman keras itu akan dilekatkan dengan setem duti kastam palsu dan kemudian diedar kepada peruncit yang menjualnya dengan harga pasaran," katanya dalam sidang media yang diadakan di Balai Polis Bukit Jalil, hari ini.


Acryl Sani(tiga kanan) dan Mazlan Lazim (empat kanan) bersama minuman keras yang dirampas pada operasi ke atas sindiket penyeludupan minuman keras di Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Acryl Sani berkata, polis turut merampas dua buah lori, dua kereta, sebuah forklift serta 200 keping setem duti kastam palsu.

Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM1.86 juta dan kegiatan sindiket menyeludup minuman keras lari cukai itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian

"Buat masa ini, polis masih menyiasat kegiatan sindiket ini sama ada mempunyai rangkaian dengan sindiket di luar negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 12:16 PM