THIEW menunjukkan gambar saksi utama yang dicari dalam kejadian bunuh di Taman Permai, Seremban pada Sabtu lalu, ketika sidang media di IPD Seremban, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai dapat membantu kes pembunuhan seorang wanita di Taman Permai 3, Seremban, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki berusia 44 tahun terbabit ditahan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Oakland, Seremban, pada 8.50 malam tadi.

“Lelaki itu adalah tangkapan kedua selepas seorang wanita tempatan berusia 38 tahun ditahan pada hari kejadian. Wanita terbabit masih dalam tahanan reman polis sehingga esok.

“Dia ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan direman enam hari bermula hari ini sehingga Ahad,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Selain itu, Thiew berkata, polis masih mengesan seorang lagi lelaki warga Pakistan yang juga saksi utama kejadian pembunuhan itu.

Katanya, lelaki terbabit dikenali Mohd Javaid Arshad Abdul Ghani berusia 54 tahun yang beralamat di No 2420 Jalan Kerapu 23, Taman Permai 3, Seremban.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Razli Mazli di talian 06-6033269 atau IPD Seremban di talian 06-6014999.

Portal berita Harian Metro sebelum ini melaporkan, D Shaleni, 31, parah akibat ditikam di perut oleh seorang lelaki Pakistan sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada 2.15 petang hari kejadian (Sabtu lalu).

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, suami mangsa berusia 48 tahun dan lelaki warga emas berusia 60 tahun turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

Dalam perkembangan lain, Thiew berkata, siasatan kes pergaduhan membabitkan dua pegawai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan peniaga burger diteruskan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis akan merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk pertuduhan.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Warga Pakistan masih diburu'

'Peniaga maut ditikam'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:26 PM