Nur Saliawati Salberi


KANAK-KANAK yang terselamat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan ibu bapanya kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, Muhammad Amirul Asyraf Mohd Fairuz, 3, yang masih ditempatkan di Hospital Melaka mengalami trauma apabila dikelilingi ramai orang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik berkata, pihaknya menerusi pegawai psikologi sudah menjalankan intervensi ke atas kanak-kanak itu, hari ini.”

“Kanak-kanak itu yang masih ditahan di wad kanak-kanak kini berada di bawah jagaan nenek dan datuknya.

“Ketika intervensi dilakukan, dia kelihatan stabil dan boleh bermain, ketawa dan tersenyum.

“Bagaimanapun, menurut datuk dan neneknya, kanak-kanak itu agak takut apabila dikelilingi ramai orang dan akan bertindak memeluk neneknya,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, kakak kanak-kanak itu, Nurul Fatiha Adelia, 7, yang kritikal akibat kecederaan dalaman masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Burhanuddin berkata, pihaknya turut dimaklumkan datuk dan nenek kanak-kanak itu akan tinggal sementara di rumah Mohd Fairuz di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam sehingga Nurul Fatiha kembali pulih.

“Intervensi seterusnya akan dijalankan oleh pegawai psikologi selepas kanak-kanak itu dibenarkan pulang,” katanya.

Berita berkaitan

Bayi dalam kandungan pergi bersama...

Tiga maut kereta bertembung...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 7:16 PM