AHLI keluarga dan rakan memberi penghormatan kepada mendiang Moey Yun Peng di Taman Baiduri, Butterworth. Yun Peng, penuntut kolej swasta maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang di sini, Ahad lalu. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


“SAYA mohon kepada semua pengguna laman sosial supaya menghentikan penyebaran gambar berserta video dan memadamkan perkara tidak baik mengenai mendiang dengan serta merta bagi menghormati perasaan kami sekeluarga,” kata keluarga Moey Yun Peng, 20 mangsa kemalangan maut selepas kenderaannya terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang, Ahad lalu.

Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Dennis menggesa semua pihak memahami situasi mereka yang terpaksa berdepan dengan kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata.

Katanya, walaupun sedih, mereka sekeluarga menerima apa yang sudah ditakdirkan dengan merayu gambar dan video yang tidak sepatutnya disiarkan dapat dipadamkan demi menjaga perasaan serta sensitiviti keluarga.

“Pemergian dia dalam keadaan seperti itu memberi tamparan besar buat kami tetapi apa yang boleh kami buat kerana itu sudah berlaku dan perlu menerimanya.

“Cuma apa yang kami minta, tolonglah jaga imej mendiang dengan menghentikan menyebarkan gambar dan videonya dalam keadaan seperti itu kerana ia turut melukakan hati kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah keluarga mendiang dekat Taman Kempas, Butterworth, hari ini.

Moey maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang pada 2.54 pagi, Ahad lalu.

Kejadian dikatakan berlaku apabila SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey hilang kawalan selepas berlanggar dengan kereta lain jenis Toyota Vios ketika pulang menyambut hari lahir rakannya.

“Kami sekeluarga menyerahkan segala-galanya kepada pihak polis untuk menyiasat dan meminta orang awam tidak mengganggu siasatan dengan pelbagai spekulasi yang dibuat.

“Biar polis jalankan kerja mereka untuk menentukan hukuman kepada individu yang menyebabkan kemalangan ini berlaku,” katanya.

Jelasnya, dia turut menzahirkan perasaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dan memohon maaf kepada pengguna jalan raya yang terpaksa menempuh kesesakan luar biasa sepanjang operasi dan menyelamat adiknya dilakukan.

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi keselamatan yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat mendiang yang mana ia satu usaha murni yang begitu dihargai kami.

“Kami minta maaf kerana kes ini, banyak pengguna jalan raya terpaksa menempuh kesesakan dan berasa serba salah menyebabkan ia berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Dennis berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan masyarakat Tionghua beberapa minggu lagi tidak akan disambut keluarga itu kerana dalam tempoh berkabung.

“Kami baru menghias rumah untuk menyambut perayaan itu tetapi bila sudah berlaku perkara menyedihkan seperti ini, maka tiada sambutan bagi menghormati pemergian mendiang.

“Apatah lagi, ini kali pertama mendiang tidak dapat meraikan perayaan ini bersama-sama kami sampai bila-bila dan ia begitu menyakitkan apabila mengingatinya,” katanya yang menyifatkan mendiang adiknya seorang anak yang baik dan menghormati ibu bapa.

Upacara pengebumian Moey yang juga penuntut kolej swasta akan diadakan di Tanah Perkuburan Cina Berapit esok.

Wakil NSTP yang berada di perkarangan rumah mangsa sejak 10 pagi mendapati kediaman itu hanya dikunjungi beberapa ahli keluarga dan sanak saudara sebelum mereka beredar.

Berita berkaitan

Pemandu Toyota Vios serah diri

'Ikhlas atau gimik minta maaf...' [METROTV]

Tayar kiri SUV putih terbenam dalam pasir

'Yun Peng, pulanglah...'

Operasi 'angkat' SUV putih disambung esok [METROTV]

Insiden kelima sejak 2010

SUV putih sudah ditemui

Hormati keluarga mangsa - Ketua Polis Pulau Pinang

Pemandu SUV dan Toyota Vios adalah rakan

Identiti pemandu SUV putih dikenal pasti [METROTV]

SUV terjunam: Pemandu Vios positif ganja [METROTV]

Vios, SUV dipandu laju - Polis

[UPDATE] Terus kesan SUV putih tercampak ke laut [METROTV]

'Kereta tercampak ke dalam laut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 2:22 PM