WAN Rosdy (berdiri) beramah mesra dengan pekebun sayur selepas menyampaikan permit penggunaan tanah dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) daerah Cameron Highlands di Pejabat Daerah Lipis, Lipis, hari ini. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


KERAJAAN negeri Pahang meluluskan permit penggunaan tanah seluas 146 hektar kepada 73 penduduk yang mengusahakan tanah kerajaan untuk pertanian di Cameron Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membuktikan kerajaan negeri tidak pernah bertindak zalim terhadap mereka walaupun mengusahakan tanah kerajaan secara haram sejak puluhan tahun dahulu.

Beliau berkata, kerajaan negeri selama ini tidak pernah mengacau, merampas atau mengambil tindakan undang-undang kepada pekebun kecil terbabit walaupun mereka mengusahakan tanah kerajaan tanpa permit.

Katanya, walaupun kerajaan negeri tahu ramai pengundi di situ tidak menyokong Barisan Nasional (BN), tetapi kerajaan tidak pernah ambil tindakan dan berdendam terhadap mereka.

“Kerajaan BN adalah kerajaan prihatin dengan pekebun kecil kerana mengusahakan tanah berkenaan untuk menyara hidup keluarga.

“Kami sentiasa mengambil berat masalah rakyat Pahang tanpa mengira mengira fahaman politik.

“Tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan 51 permit dan hari ini seramai 73 lagi pekebun sayur yang mendapat permit penggunaan tanah,” katanya di majlis penyampaian permit penggunaan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) daerah Cameron Highlands di Pejabat Daerah Lipis, Lipis, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Ibrahim.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, mereka membabitkan 64 pekebun kecil Cina, India (lima), dua masing-masing Melayu dan Orang Asli,” katanya

Beliau turut menempelak dakwaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan masalah penerokaan haram itu kerana mereka sebenarnya tidak boleh berbuat apa-apa berikutan tanah adalah hak milik kerajaan negeri.

Katanya, permit itu adalah satu inisiatif kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan bagi membuat pemutihan kawasan kawasan penerokaan lama dalam HSK di Cameron Highlands.

“Sebelum ini pemberian permit penggunaan bagi kebun diberi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di tanah kerajaan dan ditukar status kepada HSK selepas perwartaan semula.

“Pekebun yang memperoleh permit penggunaan ini perlu membayar RM5,000 setiap permit bagi bayaran ganti rugi bagi penukaran hutan kepada pertanian dan fee permit sebanyak RM1,500 sehektar bagi permit diluluskan.

“Permit ini hanya diberi kepada mereka yang mengusahakan tanah di bawah dua hektar dan sudah mengusahakan lebih daripada 10 tahun,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:57 PM