SUASANA di luar Istana Negara. FOTO Mohd Yusni Ariffin
BERNAMA

KEBERANGKATAN Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur untuk Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hari ini menarik perhatian pelancong asing.

Rata-rata pelancong asing yang ditemui BERNAMA berasa bertuah dan teruja kerana berpeluang melihat keberangkatan tiba serta kepulangan lapan daripada sembilan Raja-Raja Melayu itu.

Pelancong United Kingdom, Nand Kumar, 60, berkata, dia bersama 15 lagi rakannya dibawa oleh ejen pelancong tempatan untuk menyaksikan acara unik itu.

“Kami sangat bertuah berada di sini hari ini, melawat istana dan menyaksikan peristiwa ini, sekali seumur hidup… bukan berlaku setiap hari.

“Kami gembira dapat melihat sendiri, terima kasih kepada pemandu pelancong kami kerana membawa kami ke sini hari ini,” katanya.

Mesyuarat khas itu diadakan berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 6 Januari.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan sebelum berakhirnya tempoh pemerintahan selama lima tahun.

Seorang pelancong dari Perancis, Romain Lambert, 23, yang pertama kali melancong ke Malaysia menyifatkan dirinya amat bertuah kerana dapat menyaksikan peristiwa penting negara.

“Hari ini hari kelima saya di Kuala Lumpur dan kami memutuskan untuk datang ke istana... Kami bertanya mereka yang berada di sini apa yang berlaku hari ini dan mereka memberitahu ada mesyuarat khas membabitkan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Mesyuarat yang bermula pada 11.15 pagi itu selesai kira-kira 12.45 tengah hari, manakala kenderaan rasmi yang membawa Raja-Raja dilihat mula meninggalkan perkarangan Istana Negara jam 12.50 tengah hari tadi. \

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 3:32 PM