Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN sekumpulan wanita warga asing cuba melarikan diri dengan menaiki dua kereta gagal selepas dihalang sepasukan anggota penguat kuasa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam Operasi Bersepadu Pusat Hiburan kira-kira jam 3 pagi itu, seramai 21 wanita warga Thailand dan dua wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun selain dua lelaki tempatan masing-masing berusia 32 serta 34 tahun ditahan selepas didapati memandu kereta dinaiki kesemua wanita warga asing berkenaan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, pemeriksaan mendapati pusat hiburan berkenaan beroperasi tanpa lesen sejak November lalu.

“Semakan rekod mendapati pusat hiburan itu ada memohon lesen pada awal bulan ini, namun didapati sudah memulakan operasi walaupun kelulusan (lesen) belum dikeluarkan.

“Malah, pusat hiburan ini didapati menggunakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM10,000.

“Kami turut menyita barangan di pusat hiburan terbabit yang didapati beroperasi secara haram,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Dalam serbuan di premis berkenaan, pihak JAWI turut mengeluarkan notis perintah hadir ke sesi kursus pemantapan akhlak terhadap 14 individu beragama Islam.

Dalam serbuan berasingan, pihaknya turut menyerbu sebuah pusat hiburan elit di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, seramai 50 pengunjung warga asing diperiksa dalam premis berkenaan dengan dua wanita warga China berusia 20-an ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah.

“Selain itu, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap 50 pengunjung tempatan dan warga asing di pusat hiburan berkenaan mendapati dua daripada mereka positif dadah.

“Pihak JAWI turut menahan dua individu termasuk seorang wanita yang masing-masing berusia 20-an kerana didapati minum minuman keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:51 AM
ANTARA wanita warga asing yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi