MAZLAN (dua kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada gelandangan sambil diperhatikan Amran (tengah) pada program Jalinan Kasih Jalanan di Johor Bahru, malam semalam. Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Sabran Md Sani


YAYASAN Bandaraya Johor Bahru (YBJB) sedang mengenal pasti bangunan atau ruang sesuai untuk dijadikan rumah transit bagi menempatkan golongan gelandangan di sekitar bandar raya ini.

Pengerusinya Mazlan Bujang berkata, rumah transit yang mempunyai fungsi seperti Anjung Singgah di Kuala Lumpur dan Johor Bahru itu antara pelan jangka pendek difikirkan bagi membantu golongan terbabit.

“Saya mempunyai perancangan jangka pendek dan berharap dapat mengenal pasti bangunan atau ruang sesuai yang menjadi pusat khas gelandangan.

“Diharap dengan adanya bangunan baru itu, ia akan menjadi rumah transit bagi gelandangan terutama mereka yang tidak mempunyai saudara mara di bandar ini untuk menumpang teduh,” katanya pada sidang media pada Program Jalinan Kasih Jalanan di Johor Bahru, malam semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Johor Bahru Amran A Rahman dan Pegawai Daerah Johor Bahru Mohammed Ridha Abd Kadir.

Program kerjasama bersama Kelab Amal Bakti Johor (KABJ) bermula jam 10 malam itu membabitkan agihan kira-kira 300 bungkusan makanan dan minuman, serta pelbagai kelengkapan kebersihan diri seperti sabun dan berus gigi.

Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di Jalan Foh Chong, Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru City Centre (JBCC) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar.


SUKARELAWAN menyampaikan sumbangan makanan kepada gelandangan. Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, berkata yayasan akan mengeluarkan sumbangan bagi menjayakan projek itu, selain dibantu badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, biarpun rumah transit itu kurang selesa jika dibandingkan seperti hotel, namun paling penting adalah hasrat membantu golongan berkenaan yang tidak memiliki tempat tinggal di bandar raya ini,” katanya.

Katanya, pendekatan itu akan diteruskan dengan projek jangka panjang terutama dalam memberi bimbingan kepada golongan terbabit.

“Ini termasuk kerjasama pelbagai agensi dan Unit Kemasyarakatan Bandaraya dalam membantu memberi bimbingan kaunseling supaya golongan ini tidak terbabit dengan gejala negatif.

“Pembabitan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) juga diperlukan terutama membantu dalam aspek kaunseling terutama gelandangan beragama Islam,” katanya.

Beliau turut memberikan mandat kepada YBJB untuk membuat bancian gelandangan di Bandaraya Johor Bahru berikutan jumlahnya yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 9:33 AM