DR Asyraf Wajdi   menyampaikan ceramah pada   Pidato Pemuda UMNO-PAS di Tanah Rata, kelmarin.
DR Asyraf Wajdi menyampaikan ceramah pada Pidato Pemuda UMNO-PAS di Tanah Rata, kelmarin.
haarani Ismail dan Mohd Nasaruddin Parzi dan Rizanizam Abdul Hamid


Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bagi memberikan mesej dan isyarat terhadap penipuan berterusan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini berikutan pelbagai janji dan harapan palsu yang gagal ditunaikan dan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap PH sedangkan pengundi sebelum ini mengundi untuk pembaharuan.

Beliau berkata, PH juga sering membangkitkan kemarahan rakyat dengan menyentuh sentimen hak keistimewaan kaum dan agama selain berulang kali mempersoalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan melalui kontrak sosial sedia ada.

“Kerajaan hari ini mungkin baharu tetapi harapan yang ditawarkan mereka kepada rakyat adalah harapan palsu yang mana rakyat berulang kali ditipu.

“Beri isyarat bersama dengan kemenangan BN di Cameron Highlands ini. Bantu kami untuk beri mesej kepada PH rakyat sebenarnya marah kepada mereka.

“Rakyat tidak mahu lagi berterusan ditipu, orang muda dan peneroka FELDA juga tidak mahu terus ditipu. PRK kali ini penting, beri undi kepada BN untuk beri isyarat rakyat tidak akan ditipu selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pidato Pemuda UMNO-PAS yang turut disertai Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Tanah Rata di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil ketika berucap turut membayangkan pada pilihan raya umum (PRU) ia akan menjadi pertembungan membabitkan dua gergasi politik iaitu pakatan kerjasama PH dan BN.

Beliau berkata, perkara itu isyarat kepada PH pertembungan politik akan datang adalah dua penjuru dan tidak lagi membabitkan tiga penjuru sebagaimana pada pilihan raya lalu dengan permuafakatan bersama PAS dan UMNO sebagai pembangkang.

“Pemain utama politik negara kita pada hari ini adalah PH yang memerintah kerajaan pusat dan juga muafakat pembangkang yang semakin hari semakin utuh dan membimbangkan PH yang dilihat semakin hari semakin retak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:10 AM