Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS Seri Alam mengesahkan tiada insiden van putih cuba menarik masuk kanak-kanak dekat Kota Masai, Pasir Gudang, Johor seperti yang dikongsikan menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp, sejak semalam.

Insiden itu dipercayai hanyalah rekaan kanak-kanak terbabit yang takut dimarahi ibu bapanya kerana pulang lewat dari sekolah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden itu selepas menerima laporan polis dibuat bapa kanak-kanak berkenaan.

“Kita menerima laporan polis berkaitan kejadian itu pada Selasa lalu, kira-kira jam 7.10 petang daripada bapa seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dikatakan cuba ditarik masuk ke dalam sebuah van putih ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah sekolah agama di Kota Masai, Pasir Gudang di sini.

“Bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis selepas diberitahu isterinya bahawa anaknya yang sedang berjalan kaki melalui jalan pintas di belakang sekolah dihampiri sebuah van putih dinaiki dua lelaki yang kemudian cuba menariknya masuk ke dalam van berkenaan.

“Bertindak atas laporan polis itu, kita menjalankan siasatan awal, hasilnya mendapati kanak-kanak itu berbohong dan sengaja mereka-reka kejadian terbabit bagi mengelakkan diri daripada dimarahi kerana lewat pulang ke rumah selepas selesai sesi persekolahan,” katanya.

Sehubungan itu, Norazam menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap persekitaran dan mengingatkan anak-anak untuk sentiasa berwaspada terhadap mana-mana individu yang tidak dikenali atau yang mencurigakan dan cuba menghampiri mereka.

Pada masa sama, katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang berita atau kenyataan yang belum pasti kesahihannya menerusi apa jua aplikasi atau laman media sosial.

“Jika didapati berlaku penyebaran berita palsu menerusi aplikasi atau laman media sosial, individu yang menyebarkannya boleh disabitkan atas satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Perbuatan itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 3:25 PM