Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


MASA depan kerjaya ustazah Nur Farhana Ibrahim, 27, masih terumbang-ambing sama ada dia akan bertukar sekolah atau berdepan tindakan lain.

Keputusan sama ada Nur Farhana dapat bertukar sekolah atau tindakan disiplin diambil belum dapat diputuskan dalam masa terdekat ekoran beberapa prosedur di peringkat pengurusan.

Difahamkan, tindakan ke atasnya masih belum dapat diputuskan Jabatan Pelajaran (JPN) Pulau Pinang kerana laporan daripada pihak berkuasa masih belum diperolehi.

Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mahanum Mat Sam berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada polis mengenai kejadian guru agama berkenaan yang hilang pada 14 Januari lalu sebelum dijumpai di Kuala Kangsar tiga hari kemudian.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan polis yang sedang melengkapkan laporan sebelum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sementara itu, Nur Farhana dilaporkan masih bercuti sakit (MC) susulan kejadian itu dan sama ada dia ditukarkan masih samar kerana prosedur yang perlu diteliti termasuk kertas laporan polis mengenai kejadian.

Semalam media melaporkan bahawa JPN Kedah tidak mempunyai masalah untuk menempatkan guru agama berkenaan di sekolah yang berdekatan rumahnya.

Pengarah JPN Kedah, Abd Aziz Selaiman berkata, pihaknya difahamkan guru agama terbabit akan melalui proses pertukaran biasa yang diuruskan JPN Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya akan menunggu arahan dan jika semua proses di JPN Pulau Pinang selesai, mereka tiada halangan menempatkan beliau di sekolah berhampiran rumahnya.

Nur Farhana sebelum ini menolak tawaran pertukaran sekolah ke Seberang Perai Utara dan hanya mahu berpindah ke Alor Setar dan ia tidak dapat diluluskan kerana tiada kekosongan selain perlu mengikut polisi jabatan.

JPN Pulau Pinang juga mengesahkan bahawa guru agama itu baru saja disahkan jawatannya pada Mac 2018 dan mula berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Genting (SKG), Balik Pulau pada 15 Ogos 2016.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Nur Farhana disedari suaminya selepas tidak pulang ke rumah mereka di Alor Senibong, Langgar, Alor Setar pada petang Isnin seperti kebiasaan.

Suami Nur Farhana mendakwa isterinya pernah menerima rawatan kemurungan pada 2014 dan dipercayai mengalami masalah sama berikutan berulang-alik setiap hari dari Langgar, ke Balik Pulau, Pulau Pinang untuk mengajar.

Berita berkaitan

Beri ruang kepada Nur Farhana

Tunggu laporan JPN isu guru kemurungan

Ustazah tidur di surau

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:38 PM