B Suresh Ram


PROSES mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands bermula di semua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan parlimen ini, jam 8 pagi hari ini.

Sebanyak 17 PDM terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, sementara 12 PDM lagi, bertempat di DUN Jelai, dengan pusat membuang undi itu akan ditutup bermula jam 1 tengah hari hingga 5.30 petang.

PDM paling awal dijangka ditutup adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi di DUN Tanah Rata pada 1 tengah hari, manakala lima PDM lain ditutup jam 2 petang ini, sementara sembilan PDM lagi, ditutup jam 3 petang.

Satu PDM iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau akan ditutup jam 3.30 petang, selebihnya jam 4 petang dan 5.30 petang.


PENGUNDI beratur untuk mengundi. Foto AIZUDDIN SAAD

Pada PRK Cameron Highlands kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.

Proses pengundian awal yang terdiri daripada anggota dan pesara polis dibuat pada Selasa lalu, yang menyaksikan 87 peratus atau 216 pengundi keluar mengundi.

Sebaik pusat pengundian ditutup, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan proses kiraan kertas undi yang turut disaksikan wakil setiap calon yang bertanding.

Peti undi yang selesai dikira akan dibawa dan dikumpulkan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands, petang ini.

SPR sebelum ini menjangkakan 70 peratus keluar mengundi dalam PRK Cameron Highlands, dengan keputusan rasmi dijangka dapat diumumkan selewat-lewatnyanya jam 10 malam ini.


PENGUNDI mula mengundi di di SJK (C) Lembah Bertam, Cameron Highlands, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD

PRK kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran, Ramli Md Noor mewakili Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Pilihan raya itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh, pada PRU lalu yang berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi.

Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi.

PRK ini adalah yang kelima selepas PRU ke-14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini membabitkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:21 AM
PENGUNDI beratur untuk mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands di SJK (C) Lembah Bertam, Cameron Highlands, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD