X
WAN Rosdy mengundi di SK Tanjung Gahai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
WAN Rosdy mengundi di SK Tanjung Gahai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
T N Alagesh dan Nik Sukry Ramli


MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai, Cameron Highlands bagi mengundi jam 8.40 pagi hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai sejak empat penggal lalu, ditemani isterinya, Datin Seri Burhah Mohamed yang turut mengundi di sekolah sama.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar kawasan SK Gahai, Wan Rosdy berkata, beliau puas hati dengan perjalanan proses pengundian yang dijalankan di sekolah berkenaan.

“Cuaca pagi ini pun baik dan saya harap ramai pengundi keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya percaya calon Barisan Nasional (BN) boleh memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan mempertahankan kerusi Parlimen ini... apa sahaja keputusan, kita (BN) akan terima dengan hati terbuka," katanya.

Calon Bebas Sallehudin Ab Talib pula sudah selesai mengundi di SK Sungai Koyan 1, kira-kira jam 8.30 pagi.

Seramai 32,008 pengundi berdaftar dijangka mengundi pada PRK Cameron Highlands, hari ini di 29 pusat mengundi dengan 17 daripadanya di Tanah Rata dan 12 lagi di kawasan Jelai.

Semua pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi dan ditutup antara jam 2 petang dan 5.30 petang ini.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 10:06 AM