FOTO hiasan
Junaidi Ladjana


SEORANG pekerja wanita sebuah kedai telekomunikasi di Beverly Hill, Bundusan, Penampang berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki menggunakan parang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa berusia 30-an bersama rakan sekerjanya sedang berkemas untuk menutup kedai sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki dengan salah seorang suspek memegang sebilah parang.

Sejurus itu, rakan suspek bertindak mengambil telefon bimbit milik mangsa dan rakannya.

Turut diambil wang tunai berjumlah RM3,000 hasil jualan kad tambah nilai, barang peribadi dan wang tunai milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Abdullah berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa bersama rakanya sedang bersiap untuk menutup premis berkenaan.

“Kedua-dua suspek dikatakan melarikan diri melalui sebuah kedai dobi layan diri yang terletak bersebelahan lokasi kejadian.

“Polis sedang mengesan kedua-dua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:55 AM