LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor giat mengesan seorang lelaki yang berbogel sambil menunggang motosikal di Jalan Ayer Hitam-Kluang dekat Kluang, semalam, dengan mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang digunakannya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, setakat ini motosikal ditunggang lelaki dalam video dan gambar yang tular di laman sosial itu didapati berdaftar secara sah di Pahang.

“Kita masih menjalankan siasatan terhadap insiden ini, memang suspek belum dapat dikesan tetapi motosikalnya didapati berdaftar di Pahang.

“Sama ada ia motosikal curi atau tidak, masih dalam siasatan kami,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran lelaki berkenaan di kawasan Kluang sudah pasti disedari orang ramai atau ada yang mengenalinya.

Oleh itu, katanya, polis mengharapkan maklumat daripada orang awam bagi membolehkan lelaki berkenaan dikesan segera.

“Kita percaya dengan video yang tular, ada yang mengenalinya dan mungkin mereka di Kluang ada nampak lelaki ini, mohon tampil salurkan maklumat kepada kami melalui Facebook atau Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau datang terus ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Mohd Khalil berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di khalayak awam.

“Kita tidak boleh membiarkan orang mengambil tindakan melampau atau tidak bermoral seperti ini di Johor yang aman dan tenteram ini,” katanya.

Berita berkaitan

''Meronda' sambil berbogel'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 5:44 PM