RAZILA menunjukkan jari telunjuk tangannya yang tidak berfungsi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“JARI telunjuk pada tangan kiri saya kini sudah tidak berfungsi selepas dipotong akibat dipatuk ular tedung selar dua tahun lalu.

“Ketika itu saya bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, namun saya tidak pernah serik untuk menangkap ular kerana itu sudah menjadi sebahagian dari tugas saya sejak menjadi Pegawai Bomba Bantuan (PBB) setahun lalu,” kata Razila Abdullah, 24.

Razila atau lebih dikenali dengan panggilan Raz kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Bandar Baharu berkata, dia minat pada ular sejak dia masih belajar, walaupun pada mulanya takut dengan reptilia itu.

Katanya, dia pernah membela seekor ular kapak yang pernah ditangkap ketika di rumah sewanya dan sejak itu, dia tidak lagi geli dengan reptilia itu.

“Ketika terkena patukan ular tedung selar itu, dua hari saya koma dan mendapat rawatan di Hospital Selama, Perak dan Hospital Taiping.

“Hampir 20 botol antivenom dimasukkan ke dalam badan saya kerana jika lambat bertindak nyawa saya akan melayang kerana ular tedung selar paling berbisa,” katanya ketika ditemui di BBP Serdang, Bandar Baharu, semalam.

Anggota APM menunjukkan ular berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM

Razila berkata, jika ada kes membabitkan khidmat khas tangkapan ular, dia akan pergi untuk menangkap ular di rumah penduduk bersama rakan lain.

Katanya, namun dia sentiasa berhati-hati kerana ular menyerang tidak menentu dan sekiranya rasa terancam, ia akan mematuk mangsanya, tidak kira apa jua keadaan.

“Saya banyak mendapat tunjuk ajar dari Raja Ular Bomba Kedah, Noorizun Kechik yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai cara-cara menangkap dan mengendalikan ular terutamanya tedung selar.

“Walaupun ilmu masih kurang namun saya masih mampu mencurah ilmu kepada rakan-rakan di balai ini untuk menambah ilmu pengetahuan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Serdang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi berkata, anggotanya kerap melakukan latihan pembiasaan untuk pengenalan reptilia berbisa hampir setiap minggu.

Katanya, latihan itu amat penting terutama untuk anggota PBB seramai 15 orang di balai itu selain anggota tetap yang ada untuk memantapkan lagi kemahiran ketika menangkap ular.

“Ular tedung selar paling banyak di kawasan Serdang ini selain ular sawa dan tedung senduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:23 PM