Ooi beramah mesra dengan salah seorang penghuni rumah jagaan orang tua Bethel Hill. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


KEMATIAN anak tunggal sejak sembilan tahun lalu memaksa seorang ibu tunggal menjadi penghuni di rumah jagaan orang tua Bethel Hill di Kuala Nerang.

Malah sambutan Tahun Baharu Cina pula disambut ala kadar bersama 13 lagi penghuni rumah itu yang masing-masing mempunyai kisah tersendiri.

Menurut Hor Ah Kiaw, 93, dia tidak mengharapkan kemeriahan menyambut perayaan seperti dahulu memadai dia dapat makan dan minum yang cukup.

“Saya gembira dapat menghabiskan sisa hidup saya di sini, walaupun Tahun Baharu Cina disambut ala kadar di sini, saya bersyukur kerana masih ada yang pedulikan saya.

“Jika tidak saya terpaksa hidup sebatang kara malah lebih sedih jika menyambut bersendirian,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel di Alor Setar 40 tahun lalu.

Bagi seorang bekas ‘sister’ di sebuah gereja di Kuala Kedah, dia mengharapkan masih ada rakan-rakan yang dapat menziarahinya semasa Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Kata Hor Ah Yoke, 89, perayaan tetap disambut dengan meriah sebelum ini namun keadaannya agak berbeza setelah tiga tahun menjadi penghuni rumah itu.

“Di sini ramai penghuni yang sudah uzur, kami hanya makan dan minum seperti biasa, cuma apabila musim perayaan ini, ramai yang datang memberi bantuan dan angpau,” katanya.

Ah Kiaw dan Ah Yoke ditemui pemberita selepas Majlis Sumbangan Angpau kepada warga emas rumah berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Hal Ehwal Masyatakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min.

Terdahulu, Ooi berkata perayaan Tahun Baru Cina peringkat negeri bakal diadakan pada 9 Februari ini di Riverfront City, Sungai Petani.

Katanya Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dijangka mencemar duli hadir ke majlis sambutan itu.

“Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dijangka hadir. Kira-kira 10,000 pengunjung bakal memeriahkan sambutan itu dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum termasuk tarian singa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 10:33 PM