Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


WARGA emas yang mati dipukul menggunakan cangkul dan kuku kambing di Kampung Chap Rimau, Tanah Merah, Kota Bharu, Sabtu lalu, dipercayai dibunuh lelaki yang cuba mencuri rokok.

Dalam kejadian 5.20 pagi, Hamid Mat Salleh, 84, parah di kepala dan pergelangan tangan kiri akibat dipukul suspek terbabit yang mahu mencuri rokok dijual mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar ke bilik air yang terletak di sebelah rumahnya.

“Suspek berusia 33 tahun yang melihat pintu rumah mangsa terbuka menceroboh masuk untuk mencuri rokok yang dijual mangsa.

“Mangsa kemudian masuk ke rumah dan terserempak dengan suspek sebelum berlaku pergelutan sehingga dipukul dengan cangkul dan kuku kambing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, hasil maklumat suspek ditahan di sekitar Tanah Merah pada 12 tengah hari, Ahad lalu.

“Kita turut merampas cangkul berukuran 85 sentimeter panjang di belakang rumah mangsa, sebatang kuku kambing, baju-T dan seluar.

“Hasil bedah siasat 27 Januari lalu, kematian mangsa berpunca akibat kehilangan banyak darah pada lengan kiri disebabkan dipukul dengan cangkul,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro melaporkan, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di hadapan biliknya.

Mangsa tinggal dalam kediaman terbabit seorang diri dan berniaga rokok secara kecil-kecilan.

Berita berkaitan

Suspek tetak warga emas diburu

[UPDATE] Bedah siasat warga emas esok

Ajal warga emas di depan bilik

[UPDATE] Mangsa sangka pelanggan mahu beli rokok

Gambar Nik Abdullah Nik Omar

(SUSULAN WARGA EMAS MAUT DITETAK DI TANAH MERAH)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 4:10 PM