PARTI Sosialis Malaysia (PSM) berkemungkinan besar akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Mac ini.

Ahli jawatankuasa pusat parti itu S Arutchelvan atau dipanggil juga Arul berkata, calon PSM dalam pilihan raya terbabit tidak semestinya beliau malah mungkin orang lain yang lebih baik.

Menurutnya, persaingan daripada PSM pada PRK itu adalah bagi memberi pilihan ketiga kepada pengundi, selain Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau sedar, parti itu kecil berbanding yang lain malah beliau sendiri tewas dalam pilihan raya sebelum ini namun hakikatnya sudah banyak isu diselesaikan pihaknya.

“Walaupun kami parti kecil, tapi banyak isu sudah diselesaikan terutama membabitkan ladang dan perumahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

PRK Semenyih pada 2 Mac ini diadakan susulan penyandangnya daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih hingga suku ketiga 2018.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Bakhtiar menang dengan undi 23,428, menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abd Aziz yang mendapat 14,464 undi serta Mad Shahmiour Mat Kosim dari PAS (6,966) dan Arulchelvan (1,293).

Arul yang bertanding di DUN Semenyih sejak 2008 berkata, jika PSM bertanding dalam PRK itu, banyak isu terutama membabitkan penduduk setempat akan disuarakan termasuk berkaitan tol.

“Kawasan di Semenyih sekarang semakin padat dengan penduduk. Pengundi saja sudah lebih 50,000 manakala penduduk saya ingat sekitar 300,000 orang.

“Ia satu yang kawasan yang besar malah banyak projek mewah. Saya dapati masalah kesesakan lalu lintas juga masih berlaku manakala perkhidmatan kesihatan perlu dipertingkatkan lagi.

“Dalam PRK ini, mesej parti kami adalah untuk membawa perubahan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 1:56 AM