DIIKAT sebelum ditampar dan dipukul! Itu ‘hukuman kejam’ diterima kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun selepas disyaki mencuri buku mewarna di sebuah pasar raya di Sibu.

Akibatnya, kanak-kanak itu bukan hanya trauma malah turut cedera pada muka, bahu dan tangan termasuk patah gigi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian berlaku jam 5.30 petang Isnin lalu selepas kanak-kanak itu dipercayai mencuri buku mewarna di premis berkenaan.

Katanya, perbuatan itu dilihat pekerja wanita yang kemudian membawa kanak-kanak terbabit bertemu lelaki berusia 22 tahun dipercayai penyelia pasar raya sebelum meninggalkan mereka berdua.

“Mangsa diarahkan menyapu bilik stor dan cuba diikat agar tidak keluar dari bilik itu, selain ditampar hingga menyebabkan lebam pada muka dan patah gigi.

“Terdapat juga kecederaan pada bahu kiri kanak-kanak itu akibat dipukul menggunakan penyangkut baju besi dan sakit pada tangan kiri kerana dipulas,” katanya semalam.

Stanley ketika mengulas lanjut berkata, mangsa hanya dilepaskan oleh suspek jam 7 malam dan terus pulang ke rumah dalam keadaan menangis sebelum mengadu kepada keluarganya.

Difahamkan, mangsa masih bersekolah di sebuah sekolah swasta di Sibu dan tinggal bersama neneknya.

Stanley berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat keluarga mangsa jam 10 malam sebelum menjalankan siasatan termasuk memeriksa lokasi kejadian.

“Susulan kejadian itu, polis menahan suspek lelaki di premis berkenaan jam 2 petang (semalam) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 1:29 PM